Thursday, March 4, 2010

dari dental student menjadi dentist

assalamualaikum wbt..
Bagi mereka yang masih samar-samar tentang bidang tugas seorang dentist, dan hala tuju selepas degree, jom baca pengalaman Dr Leen selepas beliau tamat degree..

Kerjaya sebagai doktor gigi di Malaysia

Kepada sesiapa yang berminat atau ingin tahu mengenai kerjaya seorang doktor gigi di Malaysia, bolehlah membaca mengenainya di sini. Tentu ramai yang tidak tahu apa sebenarnya tugas sebagai doktor gigi di Malaysia ini sebab selepas saya menamatkan pelajaran, saya agak terkejut juga semasa menjadi ‘FYDO’ ( First Year Dental Officer). Ikuti pengalaman saya…

Selepas tamat pengajian saya di Dalhousie University, Canada, saya pulang ke Malaysia. Kemudian, saya dikehendaki menghantar borang yang boleh dibuat secara ‘online’ untuk membuat temujanji temuduga di Putrajaya. Saya telah memilih Selangor, Kuala Lumpur dan juga Johor sebagai pilihan tempat saya ingin bekerja. Selepas ditemuduga, saya menunggu lebih kurang 3 bulan sebelum mendapat surat panggilan bertugas. Alhamdulillah, saya mendapat Selangor, pilihan pertama saya.

Semasa melaporkan diri di Shah Alam, saya diberitahu yang saya akan bertugas 6 bulan di hospital dan 6 bulan di klinik pergigian. Saya telah mendapat Hospital Selayang dan juga Klinik Pergigian Tanjung Karang. Terdapat beberapa lagi gandingan seperti Hospital Klang dan juga Klinik Pergigian Klang, Hospital Kajang dan juga Klinik Pergigian Bandar Baru Bangi. Tetapi sekarang, saya tidak tahu apa gandingan yang ada kerana terdapat beberapa hospital baru yang telah dibuka seperti Hospital Serdang, Hospital Sungai Buluh dan juga Hospital Ampang.

6 bulan pertama, saya tinggal di asrama doktor di Hospital Selayang. Pelbagai pengalaman menarik telah saya perolehi semasa berada di sana. Kebanyakkan pesakit yang datang ke hospital adalah
1. Pesakit yang mahu membuat pembedahan gigi geraham bungsu secara sedar (LA) atau tidak sedar ( GA)
2. Pesakit yang mempunyai kanser mulut
3. Pesakit yang mempunyai sakit saraf yang berkaitan dengan saraf di muka
4. Pesakit yang mempunyai kecederaan di bahagian muka akibat kemalangan
Selain dari itu, saya juga merawat kakitangan hospital dan juga pesakit wad yang mempunyai masalah pergigian.

Biasanya, pada waktu pagi, saya dan rakan-rakan akan memeriksa pesakit di dalam wad bersama dengan pakar bedah mulut. Sekiranya saya menerima pesakit baru yang dimasukkan ke dalam wad pada hari sebelumnya, maka pada pagi itu saya dikehendaki memberitahu pakar bedah mulut tentang kes tersebut. Biasanya pakar akan banyak menanyakan soalan dan juga memeriksa pesakit untuk memastikan yang saya merawat pesakit dengan betul. Selepas itu, kami akan membuat tugasan masing-masing. Ada yang ditugaskan untuk duduk di klinik dan memeriksa pesakit baru dan ulangan, ada yang ditugaskan untuk pesakit di dalam wad dan ada yang ditugaskan untuk ‘oncall’. Dua kali seminggu saya akan bergilir dengan rakan yang lain untuk masuk ke dalam dewan bedah dan menolong pakar membuat pembedahan samada pembuangan gigi geraham bungsu ataupun kes kemalangan.

Pelbagai kes kemalangan yang saya dah lihat. Kesemua kes kemalangan yang melibatkan bahagian muka akan dilihat oleh doktor gigi yang ‘oncall’. Saya masih ingat tentang kes pertama saya, melibatkan seorang pemuda yang boleh dikatakan semua bahagian mukanya hancur dan saya kena menjahit bahagian mukanya yang terkoyak dan juga meletakkan dawai pengikat untuk mengikat rahangnya yang patah. Nasib baik ada doktor gigi senior yang membantu saya . Pada awalnya, semua kes-kes akan dibantu oleh doktor gigi senior, tetapi setelah sebulan, saya kena buat sendiri. Jika tidak pasti tentang sesuatu perkara, biasanya saya akan merujuk kepada doktor pakar atau doktor senior. Doktor senior saya banyak membantu semasa saya di hospital. Doktor pakar saya juga sangat baik dan banyak mengajar saya tentang semua perkara yang berkaitan dengan rawatan di hospital.

Sememangnya agak penat bekerja di hospital. Bayangkan, jika pada waktu malam, saya mendapat panggilan kecemasan dari bilik kecemasan dan merawat pesakit-pesakit, esok harinya saya kena bertugas seperti biasa . Saya masih ingat, saya pernah merawat beberapa orang pesakit dari pukul 12 sehinggalah pukul 5 pagi dan keesokkan harinya saya dengan mata yang sangat mengantuk dan penat terpaksa bertugas merawat pesakit luar di klinik yang biasanya agak ramai bilangannya. Kopi memang sudah jadi peneman hidup semasa bekerja di hospital.

Bertugas di dewan bedah agak menyeronokkan kerana dapat melihat pakar bedah melakukan pembedahan secara dekat. Tugas saya hanyalah memegang penyedut darah dan juga memegang bahagian-bahagian tertentu yang disuruh oleh pakar bedah. Saya pernah melihat pembedahan penyambungan semula rahang yang patah dengan skru dan juga besi kecil, pembedahan pembuangan kanser di lidah, leher, dan juga mulut, penyambungan semula tulang-tulang muka yang patah dengan skru dan juga besi kecil, pembedahan untuk mengecilkan rahang bawah dan juga pembedahan pembuangan gigi geraham bungsu. Saya pernah melakukan pembuangan gigi gerahan bungsu dengan pengawasan pakar bedah di bilik bedah. Di dalam bilik bedah, saya kena berdiri untuk jangka waktu yang panjang, kadang-kala dari pukul 8 pagi sampai la petang. Hanya berehat seketika untuk makan tengah hari.

Selepas habis tempoh 6 bulan, saya pula ditempatkan di Klinik Pergigian Tanjung Karang. Memanglah tempatnya nun jauh di kampung. Saya duduk di rumah kerajaan, agak besar rumah itu. Saya berkongsi dengan seorang lagi rakan saya, nasib baik suami saya Jordan jenis yang tidak kisah sekiranya ada orang lain yang tinggal bersama. Suasana bekerja di klinik kerajaan agak berbeza dengan hospital kerana di sini saya membuat rawatan pergigian yang lain . Jika di hospital, saya banyak merawat pesakit yang kemalangan di sini pula saya banyak membuat rawatan seperti tampalan, cabutan, pencucian gigi dan sebagainya. Jumlah pesakit yang datang amatlah ramai maklumlah kerana harga rawatan yang murah. Pencabutan gigi baru RM 1, Pencucian gigi baru RM 2 .Saya pernah mencabut gigi pesakit seramai 100 orang pada satu hari. Memang selepas itu saya rasa macam nak pengsan.

Selain merawat pesakit luar, saya juga dikehendaki merawat pelajar-pelajar sekolah menengah di sekolah. Dengan berbekalkan ‘portable handpiece’ , saya membuat pemeriksaan dan juga rawatan seperti tampalan, cabutan dan juga pencucian gigi. Sebelum membuat rawatan, saya akan memastikan ibu bapa telah menandatangani kad persetujuan rawatan.

Semasa bertugas di Klinik Kerajaan ini, saya juga perlu melakukan ‘oncall’. Di sini lebih kerap saya dikehendaki ‘oncall’ kerana bilangan doktor gigi kurang tetapi itu tidak mengapa kerana kes kecemasan di Hospital Tanjung Karang agak kurang berbanding Hospital Selayang. Di Klinik ini juga saya belajar bagaimana sistem pentadbiran klinik dijalankan. Saya juga dikehendaki menggantikan doktor yang bercuti di Klinik Pergigian Sungai Besar, Sabak Bernam dan juga Kuala Selangor. Selain itu, saya juga dikehendaki bertugas di klinik statik di pusat kesihatan kecil setiap bulan. Di sini saya juga berpeluang untuk bertugas di dalam klinik bergerak .

Setelah tamat setahun saya menjadi ‘FYDO’, kini masanya tiba untuk ditempatkan secara tetap di sesebuah klinik ataupun hospital bergantung kepada kekosongan. Nasib saya baik kerana ditempatkan di Klinik Pergigian Rawang kerana suami saya juga bertugas di Rawang. Di situ, saya dikehendaki menjalankan ‘oncall’ di Hospital Selayang. Saya mendapat rumah yang sama bentuknya dengan rumah di Tanjung Karang. Saya dan suami hanya perlu berjalan kaki ke tempat kerja, sungguh bernasib baik kerana ada diantara rakan saya yang terpaksa mencari rumah sewa ataupun memandu agak jauh untuk ke tempat kerja.

Di klinik ini saya didedahkan lagi kepada tugas-tugas pentadbiran. Jadi selain daripada merawat pesakit di klinik, di sekolah dan juga di klinik statik saya juga bertanggungjawab menjadi pengawal dokumen untuk ISO. Memang amat sibuk masa itu, sehingga terpaksa kerja di luar waktu kerja. Selain itu, di klinik ini saya telah dilatih untuk memberanikan diri memberi ceramah-ceramah pergigian. Pada mulanya memang saya berasa takut untuk bercakap di hadapan orang ramai tetapi setelah biasa melakukannya, saya tidak lagi berasa takut. Biasanya saya memberi ceramah pergigian kepada ibu mengandung, pelajar-pelajar sekolah, dan juga orang ramai semasa pameran dan kempen-kempen kesihatan yang diadakan.

Saya juga berpeluang mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan untuk menambahkan pengetahuan dalam bidang ini di merata tempat di Selangor dan Kuala Lumpur. Walaupun sibuk tapi saya tidaklah merawat pesakit sepanjang masa jadi amat berbeza sedikit dengan keadaan di hospital yang sememangnya sentiasa merawat pesakit.

Setelah setahun lebih berada di sana, saya minta ditukarkan ke klinik atau hospital yang berdekatan dengan Cheras kerana suami saya mendapat kerja di sana. Saya mendapat tempat di Hospital Kajang kerana ada seorang doktor di situ yang mengikut suami bertugas di luar negara. Saya tidak berapa suka kerja di hospital tetapi itu sajalah peluang yang ada maka saya pun bertukar ke Hospital Kajang. Di sini, pesakit yang datang tidak seramai Hospital Selayang kerana hospitalnya yang kecil.

Pengalaman yang tidak saya lupakan semasa bertugas di sini ialah saya dikehendaki membuat pemeriksaan gigi ke atas mayat yang tidak dikenali. Memang termasuk di dalam tugas doktor gigi yang bertugas di hospital untuk memeriksa mayat yang tidak dikenali untuk mengagak umur mayat tersebut berdasarkan gigi. Saya memang kecut perut semasa masuk ke dalam bilik mayat itu. Nasib baik ia hanyalah rangka dan bukannya mayat. Saya mengambil acuan gigi atas dan bawah dan juga memeriksa gigi tengkorak tersebut dan mengisi borang yang disediakan. Kita boleh mengagak umur seseorang dari giginya. Kita biasanya melihat jika gigi geraham bungsu ada atau tiada, selain itu kita melihat keadaan gigi sama ada ada penyakit gusi atau tidak, keadaan permukaan gigi samada masih tajam atau telah tumpul dan macam-macam lagi. Ada rakan saya yang pernah membuat pemeriksaan ke atas mayat yang terbakar, mayat yang telah reput dan berulat dan sebagainya.

Barulah saya tahu yang tugas doktor gigi bukan hanya setakat membuat rawatan pergigian tetapi banyak lagi. Semasa di Canada, saya tidak didedahkan sangat tentang tugas di hospital kerana di sana selepas anda menamatkan pengajian, anda akan terus bekerja di klinik sahaja. Sekiranya anda mahu menjadi pakar bedah mulut, barulah anda bertugas di hospital. Berlainan pula di Malaysia, doktor gigi di sektor kerajaan perlu membuat lebih dari itu.

Saya sekarang telah bekerja di klinik swasta. Pengalaman yang saya dapati semasa bekerja di klinik dan hospital kerajaan amatlah berguna. Mungkin selepas ini saya akan menceritakan pengalaman bekerja di klinik swasta. Terdapat banyak benda yang saya tidak sangka akan dibuat tetapi dibuat di klinik swasta. Jangan sangka semua klinik swasta itu sentiasa bagus, dan klinik kerajaan itu tidak bagus dan juga sebaliknya. Samada klinik swasta atau kerajaan ada baik dan ada buruknya…

http://drleen.wordpress.com/2007/05/29/kerjaya-sebagai-doktor-gigi-di-malaysia/

No comments:

Post a Comment